Wednesday, November 19

Bebas Alah Kacang

Sumber: Kosmo

KEKACANG sebagai snek adalah sebahagian daripada hidup kita. Tetapi bilakah kekacang patut dan bagaimana harus diperkenalkan ke dalam diet anak sering menimbulkan persoalan di kalangan ibu.

Alahan makanan lazimnya melibatkan pembanjiran bahan-bahan histamina dan kimia-kimia keradangan lain dalam tubuh akibat tindak balas dengan protein.

Protein kekacang biasanya menjadi punca umum berlakunya alahan. Malah, ia boleh berlaku pada sebarang usia. Trend ini dilihat semakin meningkat di kalangan bayi dan anak-anak kecil berusia sehingga tiga tahun.

Malangnya, apabila seseorang kanak-kanak mengalami alahan kekacang, kecenderungan untuk bebas daripada masalah ini agak sukar. Pendedahan kepada kekacang boleh berlaku seawal kanak-kanak diperkenalkan kepada makanan seperti kek dan biskut atau susu badan.

Namun, mengapakah alahan kekacang dilihat sebagai perkara serius? Ini berikutan simptom-simptomnya yang nampak ringan seperti rasa seakan tercucuk-cucuk di mulut atau bibir, bengkak di muka, pening-pening dan ketegangan di bahagian tekak.

Dalam sesetengah kes bagaimanapun, jangankan makan segenggam kacang, sedikit kacang pun boleh menyebabkan masalah seperti saluran pernafasan yang membengkak teruk sehingga menjejaskan daya pernafasan, penurunan tekanan darah secara mendadak disusuli dengan pengsan.

Jadi, jika begitu kesnya, adakah kekacang benar-benar selamat untuk diet anak? Pakar nutrisi yang juga kolumnis Times, Amanda Ursell berkata, kanak-kanak berusia di bawah umur lima tahun tidak seharusnya diberikan kekacang penuh kerana risiko tercekik.

"Selain faktor ini, jika salah seorang ahli keluarga terdekat mempunyai sebarang alahan atau asma mahupun rinitis alergik (hay fever), maka, makanan yang mengandungi kekacang perlu dielakkan sehingga anak mencecah usia tiga tahun. Ini mungkin memberi kesan perlindungan kepada anak," jelasnya dalam satu artikel baru-baru ini.

Sebaik sahaja anak mencecah usia tiga tahun, kekacang boleh diperkenalkan dalam dietnya pada tahap terkawal. Ini bermakna si ibu boleh memantau atau memerhatikan jika sebarang reaksi atau tindakan balas tubuh berlaku akibat pemberian kekacang dalam dietnya.

Tambah Ursell, kekacang boleh diperkenalkan dalam diet anak menerusi mentega kacang, masakan atau dalam sos sate.

Kanak-kanak yang tidak mempunyai sejarah keluarga bermasalah alahan boleh menikmati kekacang selepas bercerai susu.

Kekacang diperlukan dalam diet kerana kandungan protein sesetengah jenis vitamin B yang perlu untuk membebaskan tenaga. Selain itu, ia juga membekalkan zat mineral seperti besi dan zink untuk imunisasi serta tenaga.

Jika si ibu bimbang anak tidak memperoleh lemak yang baik, ingatlah kekacang telah terbukti menyalurkan lemak baik yang berpotensi mengurangkan risiko penyakit jantung.

Oleh kerana kacang tanah berasal dari keluarga legum iaitu bersaudara dengan kekacang seperti kacang hijau dan lentil, maka dan alahan kekacang mungkin berbeza.

Misalnya, si anak mungkin hanya alah terhadap kacang tanah dan bukan kacang badam atau kemungkinan alah kepada semua jenis kekacang.

Dalam perangkaan terkini di Britain misalnya, setiap seorang dalam setiap 70 orang kanak-kanak berusia tiga tahun ke bawah mengalami sesetengah jenis alahan ekoran kacang tanah.

Makanan yang biasanya mengandungi produk kekacang terselindung termasuk kek, biskut, pastri, aiskrim, sos sate, kari, bijirin sarapan serta dalam pelbagai kuisin berbeza.

Justeru itu, pihak pengeluar makanan juga perlu menyatakan kehadiran sebarang jenis kekacang tetapi malangnya kebanyakan bungkusan makanan tiada tanda amaran seperti ini. Jadi, jika anda sebagai ibu juga tidak pasti akan kehadiran kekacang dalam makanan yang dibeli, maka, adalah baik untuk mengelakkannya sahaja. - Times

Nota: Sebab tu mama tak mau bagi Imran makan kacang. Lagi-lagi Imran ni jenis yang sensitif.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Many Thanks!