Friday, December 5

Isyarat Si Kecil

Isyarat si kecil

Kebaikan pertama menggunakan bahasa isyarat bayi adalah untuk memberi peluang kepada anak meluahkan keperluan dan buah fikiran yang penting.

SEBELUM bayi anda pandai menterjemahkan permintaan dan keperluannya dengan menuturkan kata-kata, biasanya terdapat satu kemahiran yang dikuasainya terlebih dahulu.

Kebanyakan bayi akan menguasai tindak balas kompleks pada otot-otot wajah menerusi beberapa kaedah. Misalnya, menggunakan kedudukan lidah, pembentukan bibir dan laluan pernafasan serta kawalan pernafasan.

Sebenarnya, banyak manfaatnya apabila seseorang bayi menggunakan bahasa isyarat bayi. Malah, sesetengah pengamal kemahiran ini tidak faham mengapa sebilangan ibu bapa tidak mengajar bayi mereka bentuk komunikasi ini.

Hakikatnya, setiap orang daripada kita pernah melalui hari-hari yang sukar untuk berkomunikasi dengan kaedah yang boleh difahami oleh orang lain. Hasilnya, timbul perasaan geram yang tidak terhingga. Seperti juga orang dewasa, bayi akan menghadapi masalah serupa.

Mengimpikan sesuatu tetapi gagal menjelaskannya boleh mengakibatkan tindakan seperti menangis sekuat hati, geram atau melenting sesuka hati.

Jadi, kebaikan pertama menggunakan bahasa isyarat bayi adalah untuk memberi peluang kepada anak meluahkan keperluan dan buah fikiran yang penting.

Oleh kerana bayi dan anak kecil belajar berkomunikasi pada awal usia, maka, minda bayi sebenarnya membentuk dan meningkatkan minat mereka terhadap kemahiran berkomunikasi.

Bayi dilahirkan dengan naluri dan keperluan untuk berkomunikasi. Akan tetapi, proses pembelajaran berkomunikasi mungkin mengambil sedikit masa. Namun, bayi mampu menguasai kemahiran motor yang bermula seawal usia setahun jagung.

Kajian mendapati biarpun bayi-bayi ini mungkin tidak memiliki kemahiran motor terlebih dahulu, mereka bagaimanapun memahami dan berupaya menguasai bahasa sebelum boleh bertutur.

Menerusi didikan dan panduan yang betul, anda mungkin berjaya melatih anak yang mampu berkomunikasi dengan hanya menggunakan tangan!

Selama ini, bahasa isyarat sering dikaitkan sebagai kaedah berkomunikasi dengan mereka yang mempunyai kecacatan pendengaran.

Kajian kini mendapati didikan menggunakan bahasa isyarat juga merupakan kaedah efektif untuk berkomunikasi dengan bayi-bayi normal. Malah, ia turut menggalakkan komunikasi dua hala antara ibu dan bayi.

Mungkin anda tertanya-tanya, apakah yang boleh diperkatakan menerusi bahasa isyarat? Kita ambil contoh seorang bayi berusia 10 bulan yang bernama Amanda. Ibu bapa Amanda yang merupakan graduan Universiti Bahasa Isyarat Bayi, KinderSigns telah berupaya melatih anaknya menunjukkan keperluan menerusi isyarat-isyarat ringkas. KinderSigns (www.kindersigns.com) adalah sebuah sumber Internet yang menawarkan maklumat dan kursus-kursus berkenaan topik itu dalam talian.

Setelah beberapa bulan mengikut 'tunjuk ajar' ibu bapanya, Amanda berjaya memberitahu kedua-dua orang tuanya bahawa dia lapar, dahaga ataupun mengharapkan buku cerita dibacakan kepadanya sebelum masuk tidur.

Jika anda masih skeptikal, anda tidak keseorangan. Kebanyakan ibu bapa masih tercari-cari jawapannya sehinggalah mereka membaca kajian mengenainya. Sebaik sahaja mereka menyedari bukti saintifik kebaikan menggunakan bahasa isyarat, maka mereka mungkin tidak sabar-sabar untuk memulakannya.

Jadi, bahasa isyarat mewujudkan satu peluang kepada bayi untuk berkomunikasi tentang apa yang terbuku di dalam hati dan minda mereka.

Sesungguhnya, apabila bayi anda mula belajar bertutur, kemahiran yang sama juga digunakan. Setiap isyarat boleh membawa sesuatu makna dalam bahasa bayi. Begitu juga, keadaan ini mampu meningkatkan perkembangan kemahiran kognitif dan ruang untuk berfikir.

Dipetik dari Kosmo

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Many Thanks!