Friday, December 5

Kesilapan ibu bapa

Tidak menjawab persoalan anak-anak, meninggi suara dan menengking tidak membantu mengembangkan minda anak-anak.

APABILA anak mencecah usia setahun dan ke atas, waktu itu merupakan fasa tumbesaran yang amat penting dan perlu diawasi dengan baik.

Pada usia beginilah, mereka mula mempunyai keinginan untuk meneroka perkara-perkara baru dalam kehidupan. Malah, tempoh ini juga dianggap sebagai cabaran untuk ibu bapa menjalankan tanggungjawab mendidik anak-anak.

Menurut Perunding Psikologi Kanak-Kanak, Dr. Goh Chee Leong, kebanyakan ibu bapa pasti berasa bimbang jika perkembangan mental anak mereka tidak seperti yang diharapkan atau tidak sama seperti anak orang lain. Tetapi, sebenarnya mereka tidak perlu risau kerana setiap anak mempunyai kelebihan masing-masing.

"Biasanya setiap kanak-kanak akan melalui proses perkembangan minda dan fizikal secara semula jadi. Ada di antara mereka yang cepat tumbuh gigi tetapi lambat bercakap, ada pula yang cepat bercakap tapi lambat berjalan dan begitulah sebaliknya.

"Kebimbangan ibu bapa tentang kepantasan anak-anak belajar ada benarnya. Namun, jangan sampai ia menjadi sebab anda memaksa sehingga memberi tekanan kepada mereka mempelajari sesuatu contohnya bercakap, membaca dan mengajar anak ke tandas.

"Harus diingat setiap kanak-kanak akan melalui proses pembelajaran sendiri dan mereka memerlukan waktu untuk memahaminya. Justeru sebagai ibu bapa, jangan sesekali cuba menyekat kreativiti atau kelakuan anak-anak selagi ia tidak membahayakan mereka," kata Dr. Goh ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Apa yang penting kata Goh, ibu bapa tidak seharusnya membezakan anak mereka dengan orang lain yang mungkin lebih terdahulu dalam segala hal berkaitan perkembangan minda mereka.

Jika hal ini berlaku, ia secara tidak langsung menjejaskan emosi anak-anak dan membuatkan mereka rasa rendah diri. "Ibu bapa harus belajar memahami bagaimana pembesaran anak-anak secara berperingkat.

"Dalam hal ini, setiap ibu bapa perlu banyak bersabar dalam mendidik anak mereka. Pendekatan secara lembut dan berhemah penting dalam proses mendidik anak-anak yang berusia satu hingga lima tahun. Ini kerana pada peringkat inilah mereka belajar daripada pemerhatian terutama apa yang dilakukan oleh ibubapa sendiri."

Apakah langkah paling ideal dalam mendidik anak-anak pada peringkat awal usia? Goh berkata, ibu bapa perlu menyediakan suasana pembelajaran yang sihat untuk anak-anak mereka.

"Sebagai contoh, di rumah ibu bapa boleh mencipta satu ruang untuk anak-anak bermain sambil meneroka sesuatu yang baru dalam kehidupan mereka. Dedahkan mereka untuk menerima pengetahuan dengan menyediakan bahan permainan yang boleh dan mampu membantu mereka membina kecerdasan otak.

Di samping itu, pensyarah dari Kolej Universiti HELP ini menegaskan, antara kesilapan yang sering dilakukan ibu bapa ialah tidak menjawab setiap persoalan yang dilontarkan oleh anak-anak yang masih kecil.

Perkara ini sekali gus akan menyekat perkembangan minda mereka kerana jawapan yang diminta tidak diberikan.

"Pada usia sebegini, anak-anak perlu diberi jawapan pada setiap pertanyaan. Untuk itu, ibu bapa harus menyediakan diri dengan ilmu-ilmu berkaitan dan jangan sesekali mengelak dan menukar topik jika tidak mampu menjawabnya."

Goh menekankan bahawa jika anak-anak melakukan sesuatu kesalahan, ibu bapa mempunyai hak untuk memarahi mereka tetapi dengan cara tersendiri dan bukan menengking atau meninggikan suara.

"Memarahi anak-anak bukan satu kesalahan, sebaliknya salah satu cara untuk mendidik mereka mengenai perkara yang tidak seharusnya dilakukan. Bagaimanapun, menengking bukan jalan penyelesaiannya tetapi kemarahan itu hendaklah disalurkan dengan cara yang betul dan mampu memberi kesan pada si anak," tutur Goh.

Dipetik dari Kosmo

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Many Thanks!