Kanak-kanak yang berusia sehingga 20 bulan lazimnya lebih cenderung membuang air kecil. Ini sekali gus menyukarkan mereka menahan keinginan ke tandas. Tambahan pula, aspek pengendalian pakaian masih menjadi masalah kepada mereka.
Di Barat misalnya, sesetengah ibu bapa merasakan ia lebih mudah melatih anak menggunakan tandas sewaktu musim panas. Pada waktu ini, kanak-kanak lebih mudah diuruskan dengan pemakaian pakaian yang minimum.
Senario ini mungkin boleh diaplikasikan untuk anak kita memandangkan cuaca di Malaysia yang pada kebanyakan masanya panas. Mendidik anak cara menggunakan tandas juga memerlukan sedikit strategi dan kesediaannya untuk belajar.
Berbanding anak perempuan, anak lelaki memerlukan masa yang lebih lama untuk belajar. Malah, mereka turut perlu menguasai teknik membuang air kecil kerana kebanyakan anak lelaki akan belajar duduk di atas mangkuk tandas terlebih dahulu.
Dalam hal ini, ada baiknya jika ahli keluarga yang lebih tua seperti bapa atau adik-beradik lelaki yang lain menunjukkan caranya.
Bilakah masa yang sesuai untuk anak belajar pengurusan tandas? Kesediaan anak itu boleh dilihat menerusi beberapa petanda ringkas:
* Kekal kering selama beberapa jam setiap hari.
* Menunjukkan minat apabila anda, pasangan atau adik-beradik yang lain ke tandas.
* Mengalami sakit perut secara kerap pada bila-bila masa misalnya selepas bersarapan.
* Menunjukkan petanda ingin ke atas apabila anak mencangkung atau menghasilkan bunyi yang tidak enak.
* Memberi isyarat bahawa lampinnya sudah basah.
Bilakah masa sesuai ibu bapa patut bertindak memaksa anak belajar tentang penggunaan tandas? Mengajar anak tentang penggunaan tandas sewaktu berada dalam keadaan tertekan bukan satu idea yang baik. Antaranya termasuklah:
* Kehadiran orang baru dalam keluarga misalnya bayi.
* Memulakan sistem penjagaan anak yang baru.
* Pertukaran tempat tidur. Misalnya dari katil bayi ke katil sebenar.
* Pemindahan rumah.
* Masalah keluarga.
* Apabila ahli keluarga sakit.
Info:
* Berikan pujian setiap kali anak berjaya membuang air kecil dan besar di tandas atau dalam bekas khas yang disediakan (potty).
* Jangan terlalu mendesak. Mendidik anak yang lebih dewasa kadang kala memerlukan pendekatan berbeza.
* Tiada yang sempurna. Elakkan daripada menaruh harapan tinggi buat mereka yang baru belajar.
* Sediakan pakaian yang mudah dipakaikan oleh si kecil. Jika perlu, latih anak untuk memakai seluar untuk 'lathan' terlebih dahulu.
* Jangan sesekali memaksa anak ke tandas atau duduk di atas bekas khas. Ini hanya akan membuatkannya tertekan, tidak gembira dan melambatkan proses pembelajaran anak.
* Kebanyakan kanak-kanak takut mendengar bunyi jirusan air dalam tandas dan tidak suka melihat najis dibawa arus air. Jadi jiruslah air apabila anak sudah memberi perhatian kepada perkara lain.
* Jika sekali-sekala anak terjaga dengan lampin yang kering pada sebelah pagi, ini adalah petanda baik bahawa lampin mungkin tidak diperlukan lagi.
* Belajarlah mengawal perasaan anda jika anak terkencing atau 'terbasahkan' lampinnya.
*Pastikan anda mengajar anak membasuh tangan selepas menggunakan tandas atau menyentuh bekas khas itu.
Dipetik dari Kosmo!
2 comments:
dilema sguh! x tau nk start train camane... isk! perhaps kite leh share thoughts & experience ;)
sama la... pernah ajar Imran, letakkan dia kat atas toilet bowl tu tapi menjerit2 dia. Agaknya sebab toilet bowl tu besau sangat kot. Kena beli potty dulu la gamaknya.
Post a Comment